Tak Sedar Tangan Dah Putus


Seorang mekanik yang putus tangan kanan akibat dilanggar sebuah lori, 23 Jun lalu mengharapkan bantuan orang ramai untuk membiayai kos tangan palsunya.

Menceritakan kembali kejadian itu, Mohd Izuan Othman, 25, berkata, ketika kejadian, dia dalam perjalanan pulang ke Bandar Seri Jempol selepas keluar minum bersama rakannya dekat pekan Bahau sekitar jam 3.30 pagi.

Menurutnya, ketika itu dia yang memandu kereta jenis Honda Civic melalui jalan Bukit Kelulut, Batu Kikir menghala ke Bandar Seri Jempol, namun sebaik tiba di tempat kejadian tangannya yang dihulurkan keluar dari kereta dilanggar sebuah lori dari arah bertentangan.

"Selepas pelanggaran itu, saya tidak sedar tangan terputus bahkan sempat memandu lebih 500 meter dan hanya menyedarinya setelah melihat baju dibasahi darah.

"Ketika mendapatkan rawatan di Hospital Jempol, tangan saya yang terputus itu tidak dapat disambung semula kerana sebahagiannya sudah hancur," katanya ketika ditemui Sinar Harian di Kuarters Ibu Pejabat Polis Daerah Jempol (IPD), semalam.


Mohd Izuan yang berasal dari Papar, Sabah, mengakui agak janggal apabila sebelah tangannya tiada, namun reda dengan keadaan itu.

Katanya, dia memerlukan tangan palsu itu bagi membolehkannya bekerja di sebuah bengkel di Bandar Seri Jempol, di sini.

"Saya beruntung kerana majikan masih memberi peluang untuk bekerja, namun saya mahu datang dengan keadaan bertangan susulan kerja mekanik memerlukan kekuatan kedua belah tangan.

"Ketika ini, saya masih mendapatkan rawatan susulan di Hospital Jempol dan akan terus bekerja sebagai mekanik walaupun kehilangan tangan,” katanya.

Sesiapa yang ingin membantu Mohd Izuan boleh menghubunginya di talian 014-6778512 atau adiknya, Azlan 010-9444598 atau salurkan dalam akaun Bank Simpanan Nasional (BSN) 1211-0410-0002-7094.

5 comments