Samseng Sekolah Londeh Seluar & Toreh Guna Pisau Leher Pelajar 14 Tahun
SEORANG remaja lelaki berusia 14 tahun bukan saja ditoreh dengan pisau di leher dan tangannya, malah seluarnya turut dilondehkan dua rakan sekolahnya angkara enggan menjadi ahli ‘geng’ kongsi gelap.
Difahamkan, pelajar tingkatan dua sebuah sekolah menengah di Damansara, di sini, diugut akan dicederakan selepas tindakannya melaporkan perkara itu kepada guru disiplin sekolah berkenaan.
Berikutan itu mangsa menceritakan kejadian itu kepada keluarganya.
Bapa mangsa berusia 40-an yang bimbang keselamatan anaknya itu tampil membuat laporan di Balai Polis Sri Damansara, di sini, kelmarin.
Menceritakan kejadian itu, sumber berkata, ketika remaja lelaki terbabit berada di sekolahnya kira-kira jam 8 pagi Rabu lalu, mangsa bertembung dengan dua rakan sekolahnya yang secara tiba-tiba menghalangnya.
“Dua remaja terbabit bertindak memaksa mangsa menyertai satu kumpulan dan menjadi ahli geng berkenaan. Mereka turut mendakwa mereka adalah ahli geng sama.
“Mangsa bagaimanapun enggan berbuat demikian menyebabkan kedua-dua mereka marah lalu mengeluarkan pisau dan meletakkan di leher mangsa,” katanya.
Sumber berkata, dua pelajar itu bukan saja menakutkan mangsa dengan menoreh leher mangsa, malah turut menoreh tangan kanan mangsa hingga meninggalkan kesan.
“Mangsa yang ketakutan melaporkan kejadian berkenaan kepada guru disiplin. Dua remaja itu kemudian dipanggil dan diberi amaran agar tidak berbuat demikian,” katanya.
7 comments