Isteri Maut Digilis, Suami Kritikal




SHAH ALAM - Seorang wanita maut digilis, manakala suaminya dilaporkan kritikal selepas terbabit kemalangan di Jalan Matang Pagar menghala ke Matang Pagar, Sungai Buloh, semalam.

Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superintendan Junaidi Bujang berkata, dalam kejadian kira-kira jam 4 petang itu, pasangan suami isteri terbabit yang menunggang motosikal jenis Yamaha Lagenda dalam perjalanan dari Bukit Rahman Putra menghala ke Matang Pagar.

Beliau berkata, bagaimanapun ketika tiba di lokasi kejadian, motosikal ditunggang pasangan suami isteri itu bergesel dengan sebuah lori yang tiba-tiba menukar laluan.

Menurutnya, keadaan itu menyebabkan motosikal pasangan suami isteri terbabit terjatuh, sebelum mangsa wanita, M A Kamala Devi, 49, tercampak ke bawah lori.

"Kamala Devi maut di lokasi kejadian selepas perutnya digilis.

"Suaminya, V Raja berusia 53 tahun yang tercampak atas jalan raya mengalami kecederaan parah di kepala serta pecah buah pinggang," katanya.

Junaidi berkata, mangsa yang maut dihantar ke Hospital Sungai Buloh untuk dibedah siasat, manakala suaminya juga turut menerima rawatan di hospital sama.

Menurutnya, pemandu lori yang merempuh kedua-dua mangsa itu bagaimanapun melarikan diri selepas kejadian.

"Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian diminta tampil ke balai polis terdekat bagi membantu siasatan," katanya.


6 comments