Kisah-Kisah Rabiatul Adawiyah (Rabiah Lahir & Masa Kanak2Nya) Part 2

 
 
Pada suatu malam, ketika Rabi’ah sedang solat di sebuah pertapaan, dia berasa sangat letih sehingga dia jatuh tertidur. Sedemikian nyenyaknya tidur sehingga matanya berdarah tertusuk alang-alang dari tikar yang ditidurinya, sama sekali dia tidak sedar.
 
Seorang pencuri masuk menyelinap ke dalam pertapaan itu dan mengambil cadar Rabi’ah. Ketika hendak keluar dari pertapaan itu, jalan keluar telah tertutup. Kemudian, pencuri tersebut melepaskan cadar tersebut..ternyata jalan keluar kembali terbuka. Kemudian dia melakukan hal yang sama dengan mengambil semula cadar Rabi’ah…dan jalan keluar kembali tertutup. Sekali lagi dilepaskan cadar tersebut. Sebanyak tujuh kali dia melakukan hal tersebut. Kemudian terdengarlah sebuah suara dari salah satu sudut pertapaan itu:
 
 
”Hai manusia, tiada gunanya engkau mencuba-cuba. Sudah bertahun-tahun Rabi’ah mengabdi diri kepada Kami. Syaitan sendiri tidak berani datang menghampirinya. Jadi, betapakah seorang pencuri mempunyai keberanian untuk mencuri cadarnya? Pergilah dari sini hai manusia jahanam! Tiada gunanya engkau mencuba-cuba lagi. Jika sahabat tertidur, maka Sang Sahabat bangun dan menjaganya.”

* * *
 
Dua orang pemuka agama datang mengunjungi Rabi’ah dan keduanya berasa lapar. “Mudah-mudahan Rabi’ah akan memberikan makanan kepada kita,” mereka berkata. “Makanan yang diperoleh Rabi’ah, pastinya dari sumber yang halal.”
 
Ketika mereka duduk, di hadapan mereka telah terhampar safrah dan di atasnya dua potong roti. Melihat hal ini, mereka sangat gembira. Tetapi di saat itu pula seorang pengemis datang dan Rabi’ah memberikan kedua potong roti itu kepadanya. Kedua pemuka agama itu sangat kecewa, namun mereka tidak berkata apa-apa. Tidak berapa lama kemudian, masuklah seorang pelayan wanita membawa beberapa biji roti yang masih panas.
 
"majikanku telah menyuruhku menghantarkan roti-roti ini kepadamu,” pelayan itu menjelaskan. Rabi’ah mengira jumlah roti yang terdapat di dalam bekas tersebut. Semuanya berjumlah 18 biji.
 
”Mungkin roti-roti ini bukan untukku,”Rabi’ah berkata. Pelayan itu berusaha meyakinkan Rabi’ah namun sia-sia. Akhirnya roti-roti itu dibawanya kembali. Sebenarnya apa yang telah terjadi, adalah bahawa pelayan itu telah mengambil dua potong roti untuk dirinya sendiri. Dia meminta dua potong lagi kepada majikannya dan kembali ke tempat Rabi’ah. Roti-roti itu dikira oleh Rabi’ah, ternyata semuanya adalah 20 potong, dan setelah itu barulah dia mahu menerimanya.
 
”Roti-roti ini memang telah dikirimkan oleh majikanmu untukku,” kata Rabi’ah. Kemudian, Rabi’ah memberikan roti-roti tersebut kepada kedua tetamunya. Keduanya makan tetapi masih dalam keadaaan hairan.
 
”Apakah rahsia disebalik semua ini?” mereka bertanya kepada Rabi’ah. “Kami ingin memakan rotimu sendiri, tetapi engkau berikannya kepada pengemis. Kemudian engkau mengatakan kepada pelayan tadi bahawa kelapan belas roti tadi bukan dimaksudkan untukmu. Tetapi kemudian ketika berjumlah duapuluh potong barulah engkau mahu menerimanya.”
 
Rabi’ah menjawab, “sewaktu kamu datang, aku tahu kamu sedang lapar. Aku berkata kepada diriku sendiri, betapa aku menawarkan dua potong roti untuk pemuka agama yang terhormat. Itu sebabnya ketika pengemis itu datang, aku segera memberikan dua potong roti itu kepadanya dan berkata kepada Allah Yang Maha Besar “Ya Allah, Engkau telah berjanji bahawa Engkau akan memberikan ganjaran sepuluh kali dan janjiMu itu ku pegang teguh. Kini telah kusedekahkan dua potong roti untuk menyenangkanMu, semoga Engkau berkenan untuk memberikan dua puluh potong roti sebagai imbalannya. Ketika lapan belas potong roti itu dihantarkan kepadaku, tahulah aku bahawa sebahagiannya telah dicuri atau roti-roti itu bukan untuk disampaikan kepadaku.”

Sumber : Kisah para wali
 
.....bersambung...

3 comments