Isu Buli Dan Dera : Polis Panggil 20 Pelajar




Isu Buli Dan Dera ~ Polis Panggil 20 Pelajar  | Pihak polis sudah memanggil 20 pelajar yang dipercayai terbabit dalam kejadian pukul seorang pelajar lelaki tingkatan satu sebuah sekolah sukan di Seksyen 11, kelmarin.

Menurut Ketua Polis Daerah Shah Alam Asisten Komisioner Zahedi Ayob berkata, semua pelajar terbabit dipanggil untuk diambil keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam, semalam.

Tambah beliau lagi, pihaknya melakukan siasatan terperinci berhubung kejadian dan meminta pihak sekolah serta ibu bapa mangsa termasuk pelajar terbabit memberi kerjasama sepenuhnya kepada polis.

“Polis juga dimaklumkan pihak sekolah sudah mengambil tindakan drastik dengan menggantung persekolahan semua pelajar tingkatan lima itu.

“Saya minta ibu bapa mangsa dan pelajar yang terbabit dalam kejadian memberi kerjasama dan menyerahkan kepada polis untuk menyiasat punca kejadian,” katanya.

Zahedi berkata, beliau mengingatkan orang ramai supaya tidak membuat undang-undang sendiri sekiranya berlaku sebarang jenayah sebaliknya menyerahkan kepada polis untuk mengambil tindakan.

Katanya, kes berkenaan kini disiasat mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan iaitu melakukan rusuhan dengan senjata dan sabit kesalahan boleh dipenjara lima tahun atau denda atau kedua-duanya.

“Kepada pihak sekolah, saya minta mereka pantau setiap aktiviti dan pelakuan pelajar ketika dalam kawasan sekolah bagi mengelakkan kejadian seperti ini berulang.

“Sekiranya sekolah menghadapi masalah disiplin pelajar yang teruk dan tidak dapat mengawalnya, mereka boleh merujuk Pegawai Hal Ehwal Awam Polis di mana-mana IPD untuk tindakan lanjut,” katanya.

Kamarul Aiman Kamarul Hadi, 13, cedera pada rusuk kanan, tulang belakang dan kaki setelah dibelasah menggunakan batang penyapu selain dipijak menggunakan kasut bola hanya kerana dituduh mencuri kasut bola milik seniornya.

Kejadian kali ketiga itu menyebabkan mangsa tidak boleh bergerak dan terlantar di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang untuk menerima rawatan sebelum dibenarkan pulang semalam.

Dalam kejadian pada jam 11.30 malam hingga 1 pagi itu, mangsa melarikan diri mendapatkan bantuan di rumah rakannya yang terletak berhampiran sekolah sebelum kejadian itu dimaklumkan pula kepada ibu bapa mangsa.

Sementara itu, bapa mangsa, Kamarul Hadi Che Harun, 37, berkata, anaknya sudah dibenarkan pulang pada jam 1.30 tengah hari semalam dan berehat di rumah mereka di Kuarters Balai Polis Sungai Way, Petaling Jaya.

Katanya, keadaan anaknya kini dilaporkan stabil dan berharap pihak sekolah serta polis mengambil tindakan sewajarnya kepada pelajar yang memukul anaknya itu.

“Ketika ini saya tidak tahu siapa yang salah dan betul dalam hal ini, tapi saya minta mereka menyelesaikan masalah ini dengan adil,” katanya.



6 comments